Testimonials

Testimonials by our esteemed participants

SHARING

 

BANGUNKAN POTENSI DIRI ANDA

 

Salam sejahtera.

 

Saya ingin mengajak anda menjadi pemimpin atau memainkan peranan memimpin.

Sebab, itulah fitrah manusia, dijadikan Tuhan tersedia potensi atau keupayaan  memainkan peranan tersebut.

Amati tukilan berikut:

Akan Kucipta manusia menjadi khalifah di bumi” – (Al-Quran)

Setiap orang adalah pemimpin (yang akan bertanggungjawab ke atas kepimpinannya)” -  (Hadith).

Jelas sekali maklumat yang terangkum di dalamnya: manusia lahir dengan potensi sebagai pemimpin atau khalifah. Itu fitrah manusia.

Kalau konsep ini difahami, maknanya setiap orang daripada anda, selagi masih bernafas, boleh dan harus memainkan peranan memimpin.

Dan tidak seperti makhluk lain, manusia juga dibekalkan dengan akal. Malah, menurut Robin Sharma, pakar ilmu kepimpinan, “setiap kita dilahirkan sebagai genius”.  

Ertinya, secara semulajadi, manusia sedia punya potensi untuk mampu mengambil inisiatif serta menentukan arah tujuan hidupnya dengan bijak memanfaatkan akal yang Tuhan kurniakan kepadanya,

Apakah maksud menjadi pemimpin?

Menjadi pemimpin bermakna melakukan yang terbaik dalam setiap bidang atau lapangan yang kita kerjakan sehingga kebaikan itu mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada diri kita, juga kepada orang lain sehingga mereka pun terdorong untuk berbuat yang terbaik.

Kita cinta dengan setiap pekerjaan yang kita lakukan, tidak cuai melaksanakannya, tidak menipu, tidak berpura-pura dan tidak terlalu perlu kepada pengawasan.

Kita memberi makna kepada setiap pekerjaan yang kita lakukan, dengan ikhlas dan dengan ihsan – sama seperti kita membuat pengabdian dalam beribadah.

Maknanya, kita boleh memimpin tanpa gelaran atau jawatan, tanpa perlu menjawat kedudukan eksekutif.

Sebaliknya, kita boleh memimpin dan harus menjadi pemimpin, baik sebagai budak pejabat, suri rumah, pekerja pembersihan, mekanik, pemandu, guru, ustaz, pegawai eksekutif, peniaga, pemimpin badan, mahupun sebagai ceo korporat.

Dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan itu, atau yang kita ada peranan di dalamnya, kita memberikan yang terbaik.

Kita tidak perlu menunggu sampai diberikan gelaran atau pangkat, bergaji lumayan, atau beroleh ganjaran itu dan ini, sebelum mahu memimpin atau menjalankan peranan pemimpin.

Dan kerana secara fitrah kita adalah genius, kita pasti boleh berfikir dengan sempurna, membebaskan (to unleash) unsur kepimpinan dalaman yang sedia ada dalam diri kita, untuk kita berhasil melaksanakan tugas memberikan yang terbaik.

Apakah yang lebih menggembirakan dan membahagiakan anda selain daripada tahu dan berupaya merealisasikan potensi genius yang ada pada anda, membuat pekerjaan paling baik serta menjalani kehidupan seindah yang mungkin?

Sayangnya, di sebalik potensi yang sedia ada itu, kebanyakan manusia terus hidup sebagai hamba. Dan seperti yang disebut Robin Sharma, di sebalik “Each of us is born into genius,”  alangkah sedihnya apabila menyaksikan “most of us die amid mediocrity.

Lihat sahaja di sekeliling.

Ramai orang kecewa dengan pekerjaan seharian yang mereka lakukan, meskipun pekerjaan itu mungkin pilihan mereka sendiri.

Kerana tidak bahagia dengan pekerjaan itu, mereka tidak akan bersungguh-sungguh mengerjakannya.

Lebih parah lagi mereka yang tak punya gelaran atau jawatan, yang berasa mereka hanyalah pengikut yang bekerja atas arahan pihak atasan. Kebanyakan orang beranggapan pemimpin hanya mereka yang berstatus eksekutif.  

Akibatnya, mereka kurang mengambil inisiatif, jauh sekali daripada bersikap kreatif. Ini menyebabkan prestasi kerja merosot, tidak cemerlang.

Orang seperti ini akan selamanya terperangkap dengan mentaliti hamba.

Mengapa situasi begini berlaku walhal setiap kita lahir dengan potensi sebagai khalifah, pemimpin dan genius?

Tentu kerana kita tidak kenal atau tidak sedar dengan potensi yang ada dalam diri. Kita tidak tahu atau mengabaikannya. Lalu, kita tidak berasa perlu membangunkannya.

Akibatnya, walaupun lahir sebagai pemimpin dan khalifah, kebanyakan kita hidup sebagai hamba sepanjang masa.  

Soalan yang perlu terus kita tanyakan: Mengapa kita mengabaikan potensi sebagai pemimpin dan genius. Mengapa tidak kita manfaatkannya?

Mungkin kita tidak tahu. Mungkin kita  lupa atau sengaja mengabaikannya. Mungkin juga kita salah pengertian bahawa pemimpin hanya hak mereka yang diberi kuasa eksekutif, atau memegang kedudukan dalam pekerjaan.

Lalu kita kurang memberi tumpuan dalam mengatur kehidupan kita, kurang teliti dalam melakar misi dan visi kehidupan kita, kurang terarah menentukan nilai-nilai murni yang harus jadi tunggak pegangan kita.

Saya ingin mengajak anda bersama memperbetulkan kesilapan atau pengabaian ini.

Dan usaha ini tdak boleh berlaku sendirian. Tidak boleh juga bertangguh.

Membangun potensi diri menjadi pemimpin harus berlaku kepada setiap individu dalam kehidupan berkumpulan dan bermasyarakat. Dalam setiap pekerjaan berkumpulan, setiap peranan adalah besar dan penting. Tidak ada peranan yang kecil atau tidak penting.

Lihat sahaja sebuah orkestra simfoni. Jika ada seorang sahaja daripada anggota pemusiknya yang gagal memberikan persembahan terbaik, seluruh persembahan orkestra simfoni itu akan menjadi sumbang.   

Demikianlah bandingannya dalam kehidupan berkumpulan, dalam keluarga,  dalam firma dan syarikat, dalam organisasi dan seterusnya dalam kehidupan umat.

Setiap pekerjaan baik mesti disegerakan. Tidak boleh mengamalkan sikap suka bertangguh. Sebabnya, usia kehidupan singkat sekali. Purata kehidupan hanyalah kira-kira selama 960 bulan atau 29,000 hari.

Jangan sampai kita kesal mensesiakan masa yang singkat berlalu, membiarkan potensi memimpin dan membawa kebaikan dibazirkan dengan tidur dan bersantai.

Seperti yang dipesankan Benjamin Franklin, “Akan ada banyak masa untuk anda tidur secukupnya setelah anda mati.”

Mulakan hari-hari kita seberapa awal yang mungkin.

Mereka yang memulakan pekerjaan satu jam awal setiap pagi, akan mempunyai 7 jam tambahan setiap minggu, atau 30 hari tambahan setiap bulan.

Masa tambahan itu cukup untuk kita manfaatkan bagi melakar perancangan, menghalusi misi dan visi, serta membangunkan projek tebaik kita.

Kita juga boleh menggunakan masa itu bagi merenung atau menilai semula nilai-nilai yang kita pegang, menyisihkan halangan-halangan dalaman yang masih ada, serta memikirkan semula segala yang pernah kita fikirkan. 

Kita tidak perlu merungut kesuntukan masa. Sebaliknya kita boleh ceria dan berasa bahagia memanfaatkan secara optimum masa yang sebenarnya ada pada kita.

Selepas menjalani latihan ini, anda akan menjadi alumni ESQ.

Anda perlu menjalin jaringan kerja yang kukuh di kalangan alumni.

 Jaringan ini akan membantu proses saling ingat-mengingatkan dalam berbuat baik dan benar, sesuai dengan semangat Surah Al-Asr.

Anda perlu mempunyai rakan, baik individu mahupun kumpulan, yang boleh mendorong atau menjadi inspirasi kepada anda untuk terus membangun potensi anda, kemudian menterjemahkannya dalam bentuk  mengembangkan kebaikan untuk seluruh alam.

Saya sebutkan ‘kebaikan untuk seluruh alam’ kerana kepimpinan bukan hanya berlaku di tempat kerja, atau di tempat-tempat kita bertugas. Kepimpinan harus diamalkan dalam semua bidang yang kita ada peranan di dalamnya.

Dalam kehidupan peribadi, orang yang menjadi atau memberi inspirasi itu mungkin ibu bapa, rakan karib, guru, suami atau isteri, malah kekasih atau sesiapa sahaja yang cinta atau mengasihi anda.

Dengan inspirasi yang diberikannya, anda boleh mengetahui sama ada anda sudah sedia mempunyai misi, visi dan nilai yang betul dalam menjalani kehidupan ini. Kalau sudah ada, apakah anda perlu menilainya semula dan mengambil yang baru jika perlu, atau mengukuhkan apa yang sedia ada.

Anda perlukan rakan kongsi untuk membuat transformasi dalam menjalankan peranan kepimpinan anda itu.

Program latihan pembangunan sumber insan Modul ESQ Way 165 ini menepati keperluan itu.

Menerusi latihan ini anda akan mendapat rakan kongsi yang akan membantu anda, memberikan anda ilham, mengenalpasti potensi yang ada dalam diri anda, membangunkan potensi itu, menilai semula dan memperbarukan atau mengukuhkan lagi misi, visi dan nilai yang diperlukan, sehingga akhirnya anda dapat memaksimumkan potensi dalam diri anda.